PRINSIP ITIK
BERENANG BAGI PELAJAR CEMERLANG
Hai murid-murid yang cikgu hormati sekalian, pernahkah
murid-murid melihat itik yang sedang berenang di dalam kolam atau tasik?
Itik-itik itu semua kelihatan berada di permukaan air dengan tenang dan selesa.
Pergerakan mereka sangat lancar dan mereka bergerak ke depan, kiri dan kanan
dengan begitu lembut dan indah.
Namun, tahukah kita apa yang berlaku
di bawah permukaan air itu? Sedarkah kita yang di bawah permukaan air itu kaki
itik sedang bekerja keras mengayuh hampir ke semua arah bagi memastikan itik
kekal timbul?
Cikgu baca kisah itik berenang ini
di dalam buku Tuan Fadzli Yusof ‘Kuasa
Hijrah, Kuasa untuk Berubah’. Di dalam buku ini, Tuan Fadzli ada ceritakan
tentang satu prinsip yang diamalkan oleh Tuan Nizal Mohammad, pengacara TV
terkenal. Menurut Tuan Nizal, walaupun seseorang yang BERJAYA itu kita lihat nampak tenang dan bersahaja, mereka
sebenarnya sedang bekerja keras dan bertungkus-lumus dalam usaha mereka
mencapai kejayaan.
Kita tidak nampak usaha kerja keras
mereka kerana apa yang kita nampak adalah di bahagian permukaan sahaja, sama
seperti itik yang sedang berenang. Itik kelihatan sedang bergerak tenang di
atas permukaan air tetapi sebenarnya di bawah permukaan air, kakinya bekerja
keras mengayuh air agar ia kekal timbul di permukaan.
Mari kita lihat prinsip ini pada
pelajar cemerlang. Pernahkah murid-murid semua tertanya-tanya mengapa pelajar
cemerlang kelihatan tenang sahaja. Walaupun mereka cemerlang dalam peperiksaan,
mereka masih ada masa untuk masuk pelbagai persatuan, bertanding dalam aktiviti
sukan dan mewakili sekolah dalam banyak perkara. Adakah mereka tenang kerana
semua perkara ini MUDAH sahaja buat
mereka?
SUDAH TENTU
TIDAK!
Sama seperti prinsip itik berenang
tadi, pelajar cemerlang juga bekerja sangat keras untuk mencapai kejayaan.
Walaupun mereka nampak tenang, fikiran mereka sentiasa bekerja dan berfikir
untuk mencari jalan ke arah kejayaan. Jika pelajar KURANG CEMERLANG rasa belajar itu susah dan memeningkan kepala,
pelajar CEMERLANG juga rasakan
perkara yang sama. Bezanya, pelajar cemerlang teruskan belajar dan bekerja
keras kerana mereka tahu, usaha mereka akan membawa mereka ke arah kejayaan.
Mereka tidak merungut tentang susah belajar kerana ia adalah sebahagian
daripada proses mencapai kecemerlangan. Bayangkan bagaimana kalau itik merungut
setiap hari, “Ishhh…susahlah nak kayuh-kayuh air ni…tenggelam sajalah senang!”
Jadi murid-murid semua, ada satu perkara penting perlu
kita ingat hari ini.
Jika kita
rasa belajar itu susah, jika kita rasa kepala kita pening dan jika kita rasa
hampir putus-asa untuk belajar, jangan bimbang, pelajar cemerlang juga rasakan
perkara yang sama. Susah, pening dan rasa mahu putus-asa itu adalah normal,
bukan bermaksud kita lemah. Apa yang akan membezakan kita dengan pelajar lain
ialah walaupun kita rasa pening, susah dan mahu putus-asa, kita teruskan juga
berusaha untuk belajar.
Cikgu ucapkan Selamat Berjaya buat murid-murid semua
dan Selamat Berenang !!
Teknik Menjawab Kertas 2 Matematik UPSR
Khas untuk murid-murid yang cikgu kasihi, teknik menjawab kertas matematik ini cikgu paparkan untuk tatapan dan ingatan murid-murid sebagai persediakan awal sebelum melangkah ke dewan peperiksaan..........
No comments:
Post a Comment