Hari ini Cikgu nak
bercerita tentang Tokoh Matematik yang teragung di dunia. murid-murid
semua mesti pernah dengar tentang Al Khawarizmi kan? Apa kata hari ini murid-murid semua mengingat kembali apakah sumbangan beliau kepada dunia matematik
sehingga ke hari ni.
Dalam dunia matematik, Al-Khawarizmi lebih dikenali
dengan nama Bapa Algebra.Nama sebenar Bapa Algebra ini ialah Muhammad Ibn
Musa al-Khawarizmi. Selain itu, beliau turut dikenali sebagai Abu
Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff. Walaubagaimanapun, orang Barat
mengenalinya dengan nama al-Khawarizmi, al-Cowarizmi, al-Ahawizmi,
al-Karismi, al-Goritmi, al-Gorismi dan beberapa nama lain lagi. Tarikh
lahir dan kematiannya yang tepat tidak diketahui, tetapi beliau dikatakan hidup
di antara tahun 790 sehingga 840 Masihi. Ada pendapat lain menyatakan beliau
lahir pada tahun 780 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 850 Masihi.
Dalam kalangan ahli sains, beliau lebih dikenali
sebagai Al Khawarizmi dan merupakan
seorang ahli sains Islam yang terulung dalam ilmu matematik. Beliau juga
merupakan seorang ahli astronomi dan geografi yang terkenal pada zamannya. Gelaran Al Khawarizmi
diberikan kepada beliau bersempena tempat kelahirannya di Khawarizm yang
terletak di selatan Laut Aral. Beliau lahir di sebuah tempat bernama Kath iaitu
sebahagian daripada daerah Khawarizm, yang kini telah lenyap akibat
ditenggelami pasir.
Dalam pendidikan telah dibuktikan bahawa Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh Islam yang
berpengetahuan luas. Pengetahuan dan kemahiran beliau bukan sahaja meliputi
bidang syariat tetapi di dalam bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri,
muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia. Al-Khawarizmi merupakan
guru aljabar di Eropah. Beliau merupakan ahli matematik teragung dan jasanya
terhadap dunia Matematik sangat besar. Beliau merupakan pengasas kepada
beberapa cabang dan konsep asas Matematik. Hasil kerjanya dalam algebra begitu
cemerlang dan beliau tidak hanya mempunyai inisiatif terhadap subjek dalam
pembentukan sistematik tetapi juga bertanggungjawab membangunkan penyelesaian
analitikal dalam pengembangan garis lurus serta persamaan kuadratik.
Persamaan kuadratik ialah satu persamaan di mana kuasa kedua tanpa kuasa
lebih tinggi digunakan bagi yang tidak diketahui (x2 + 2x – 8 = 0).
Kejayaan itu akhirnya menjadikannya pengasas Algebra. Nama Algebra diperoleh
daripada bukunya yang terkenal iaitu Al-Jabrwa-al-Muqabilah.
Beliau turut menjelaskan dengan teliti kegunaan sifar
iaitu sistem angka yang dibangunkan oleh orang Arab. Pada masa yang sama,
beliau membangunkan sistem perpuluhan dan dengan itu, keseluruhan sistem nombor
angka, algorithm atau algorizm memperoleh nama selepas dibangunkan oleh orang
Arab. Dalam usahanya memperkenalkan sistem angka India (kini dikenali angka
Arab), beliau telah membangunkan beberapa prosedur kira-kira termasuk operasi
dan pecahan. Sistem angka itu kemudiannya diperkenalkan kali pertama oleh orang
Arab kepada Barat yang mana hasil kerjanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Eropah.
Seterusnya, beliau turut membangunkan secara
terperinci bidang trigonometri iaitu ilmu matematik mengenai sudut dan
sempadan segitiga yang mengandungi fungsi sine. Beliau juga
menyempurnakan teori geometri yang mewakili muka keratan kon dan membangunkan
kalkulus yang mana membantunya menguasai konsep pembezaan. Beliau juga turut
bekerjasama dalam pengukuran darjah di bawah perintah Mamun al-Rashid yang
bertujuan mengukur isipadu dan lilitan bumi. Pembangunan ilmu kaji bintang atau
ilmu falak olehnya mempunyai makna yang cukup besar terhadap kemajuan dalam
bidang sains astronomi yang mana beliau turut menulis buku mengenainya.
Sumbangan Khawarizmi dalam ilmu geografi turut cemerlang. Beliau tidak hanya
menyemak pandangan Patolemy mengenai geografi tetapi juga membetulkannya
termasuk dalam melakar peta dunia.
Buat pengetahuan semua, Al Khawarizmi merupakan
saintis pertama yang melakar peta dunia pada tahun 830 Masihi iaitu 10
tahun sebelum beliau meninggal dunia. Subhanallah…alangkah hebatnya sarjana
Islam ini kan..?